Salju Biru

Khamis, 15 Mac 2012

Lipis - Mini Zoo Lipis



Papan tanda zoo yang terletak di pintu hadapan bagi menyambut kehadiran pengunjung

Maklumat Berkaitan :
Terdapat kira-kira 42 jenis spesis haiwan diletakkan di zoo ini.

Lokasi :
Terletak di Bukit Bius, berhampiran dengan simpang Bukit Bius dan bangunan Lipis Centrepoint, kira-kira 1.5 km.


Spesis kucing hutan yang menjadi tumpuan utama pengunjung ke zoo ini

Kemudahan Kenderaan :
Kemudahan Shuttle Van disediakan pada hari Sabtu, Ahad dan hari pelepasan am dengan tambang sebanyak RM0.50 bagi perjalanan pergi dan balik.

Bayaran :
Kanak-kanak (dibawah umur 12 tahun) = RM1.00
Dewasa = RM2.00

Waktu Pembukaan :
Isnin sehingga Khamis = 10.00 pagi sehingga 7.00 petang
Jumaat = 10.00 pagi sehingga 1.00 petang dan 3.00 petang sehingga 7.00 malam
Sabtu dan Ahad (termasuk hari pelepasan am) = 9.00 pagi sehingga 7.00 malam


Pasangan burung hantu yang comel juga terdapat di zoo ini untuk tatapan pengunjung. Kawasan Lipis juga terkenal dengan jumlah burung yang banyak.

Lipis - Hutan Simpan Bukit Taching


Maklumat Berkaitan :
Merupakan kawasan hutan yang terletak berhampiran dengan Taman Negara Merapoh. Dibangunkan seawal tahun 1990.

Keistimewaan :
Kepelbagaian spesis flora dan fauna serta penemuan Bunga Pakma (Rafflesia)

Kemudahan :
Gazebo, tandas awam, surau dan ruang rehat.

Lipis - Taman Tasik Burung Mandi



Papan tanda yang terdapat di hadapan pintu masuk ke taman

Maklumat Berkaitan :
Merupakan kawasan yang menjadi tumpuan peminat-peminat acara sukan motor lasak yang melibatkan banyak peserta yang datang sama ada dari dalam atau luar negara. Berkeluasan kira-kira 200 ekar dan mempunyai 4 buah tasik buatan yang merupakan bekas tapak perlombongan bijih timah.

Lokasi :
45 km dari bandar Kuala Lipis

Keistimewaan :
Mempunyai khazanah alam semulajadi dan juga habitat beratus spesis burung liar yang datang untuk migrasi atau asal dari kawasan tersebut.


Lipis - Taman Rekreasi Sungai Yu



Papan tanda yang menyambut kedatangan tetamu

Maklumat Berkaitan :
Taman ini terletak berhampiran dengan Mukim Batu Yon dan kedudukannya adalah di tepi Lebuhraya Timur-Barat. Air sungai adalah sangat jernih dan bersih.

Aktiviti Yang Dijalankan :
Berkelah, berehat dan mandi-manda


Kawasan yang bersih dan nyaman serta memberi ketenangan

Kemudahan Yang Disediakan :
Surau, tandas awam, tong sampah, gazebo dan gerai makan.


Air yang tenang dan jernih serta sejuk

Lipis - Taman Negara Merapoh



Papan tanda taman di hadapan pintu masuk

Maklumat Berkaitan :
Pintu ke-2 bagi memasuki Taman Negara di negeri Pahang. Terletak di kawasan barat Taman Negara di Semenanjung Malaysia. Kawasan ini telah dibuka pada umum pada Ogos 1993. Pejabat pengurusan terletak kira-kira 7 km daripada pekan Merapoh, yang terletak 30 km ke arah selatan Gua Musang, Kelantan. Taman ini lebih dikenali sebagai Taman Negara Sungai Relau Merapoh.

Lokasi :
Terletak 8 km dari pekan Merapoh

Bagaimana Untuk Ke Sana :
Kereta Api = Menaiki kereta api dari Mentakab atau Kuala Lipis dan berhenti di Stesen Kereta Api Merapoh.
Kereta = Melalui lebuhraya menuju ke Merapoh, menerusi perjalanan ke Gua Musang.
Teksi = Setelah keluar daripada kereta api, ambil perkhidmatan teksi.

Aktiviti Yang Dijalankan :
Mendaki gunung ke Gunung Tahan, menyusuri laluan hutan yang telah disediakan, melawat gua dan melihat hidupan liar.


Air sungai yang cetek namun bersih dan sejuk

Kemudahan Yang Boleh Didapati :
Laluan pendakian menuju ke puncak Gunung Tahan yang lebih singkat (3 hari sahaja), laluan kereta trek sejauh 14 km menghubungkan  Sungai Relai dan Kuala Juram, laluan hutan (Interpretive, Negeram, Palas dan Gua Gajah), dorm, chalet (tetapi tiada restoran) dan tandas awam.


Pengunjung akan dibawa ke Gua Gajah, di mana merupakan tempat gajah akan berteduh daripada hujan

Bayaran Yang Dikenakan :
Di sini, setiap pengunjung hendaklah mempunyai lesen, permit dan bayaran untuk setiap perkara yang dilakukan, iaitu
Permit masuk = RM1.00 seorang, Lesen kamera = RM5.00 seunit, Lesen memancing = RM10.00 seunit dan bayaran tapak perkhemahan = RM1.00 sehari/seorang

Selain itu, terdapat pakej yang ditawarkan bagi pelancong dari luar
1. Trekking Merapoh/TNMER/03 - 3 Hari 2 Malam (Sederhana), RM410.00 dengan minima 2 pass.
2. Gunung Tahan Challange/TNGT/05 - 5 Hari 4 Malam (Tinggi), RM670.00 dengan minima 4 pass
3. Taman Negara Merapoh Group/TNMER/03 - 3 Hari 2 Malam (Sederhana), RM260.00 dengan minima 10 pass


Pengunjung juga boleh menyaksikan serta memberi makan kepada ikan yang terdapat di dalam taman negara ini

Pengurusan Yang Boleh Dihubungi :
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
Alamat = Km 10, Jalan Cheras, 56100 Kuala Lumpur.
E-mail = pakp@wildlife.gov.my
Laman web utama = www.wildlife.gov.my
No.Tel = +60390752872; No.Faks = +60390752873

Lipis - Hutan Lipur Ulu Jerangsang

Maklumat Berkaitan :
Terletak di Hutan Simpan Bukit Taching yang mempunyai jenis Hutan Dipetarokarp Bukit. Terdapat sungai dan jeram yang menarik untuk dilawati dan diterokai.

Lokasi :
37 km dari bandar Kuala Lipis dan 220 km dari Kuantan

Keistimewaan Kawasan Ini :
Tempat penemuan spesis Bunga Pakma atau nama saintifik Rafflesia Canthelayi dan tempat persinggahan burung-burung pelbagai jenis yang berhijrah dari luar.

Aktiviti Yang Terdapat Di Sini :
Bermandi-manda, berkelah, berkhemah, bersiar-siar dan melihat hidupan liar

Lipis - Tasik Empang Jaleh



Kawasan persekitaran tasik dari sudut sisi

Maklumat Berkaitan :
Tasik yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan sebagai tempat rekreasi keluarga. Berkeluasan kira-kira 184.35 ekar. Tasik ini terletak berdekatan dengan laluan yang boleh digunakan untuk mendaki Gunung Tahan, iaitu gunung tertinggi di negeri Pahang dan Semenanjung Malaysia.

Lokasi :
14 km dari bandar Kuala Lipis. 

Bagaimana Untuk Ke Sana :
Kereta = Dari Kuala Lumpur, masuk ke Lebuhraya Karak dan seterusnya melalui lebuhraya menuju ke Gua Musang. Apabila tiba di bandar Kuala Lipis, ambil jalan kiri ke Gua Musang. Tasik ini terletak di jalan menuju ke Gua Musang.
Kereta Api = Dari Stesen Kereta Api Mentakab menuju ke Stesen Kereta Api Kuala Lipis
Bas = Menaiki bas Jelai Ekspress dari Kuala Lipis ke Kuantan, yang berulang alik 2 kali sehari sahaja. Bas itu boleh ditemui di Terminal Bas Kuantan sahaja.

Kemudahan Asas :
Laluan pejalan kaki, peralatan kayak, padang golf, tandas awam, tempat rehat dan gerai.


Pengunjung menyeberangi batang kayu yang dijadikan jambatan untuk melintasi kawasan seberang

Aktiviti Yang Dijalankan :
Berkayak, bermain golf, jogging, perkhemahan, memancing.


Air terjun yang terdapat berhampiran kawasan tasik

Nota :
Padang golf di sini turut menawarkan pakej untuk permainan 18 lubang dan 9 lubang, termasuk perkhidmatan 'buggy' dan 'turfmate' yang disediakan dengan kadar berpatutan.



Lipis - Taman Rimba Kenong



Pintu masuk ke dalam Taman Rimba Kenong

Maklumat Berkaitan :
Merupakan hutan hujan tropika yang masih belum diteroka kira-kira 128 km persegi di dalam daerah Lipis, Pahang. Kawasan ini terletak di Lembah Kenong dan berkongsi sempadan dengan Taman Negara iaitu di bahagian utara dan timur. Walaupun taman ini dibuka kepada orang awam, kebanyakan kawasan taman ini masih belum diterokai sepenuhnya.


Papan tanda yang terdapat di dalam taman

Menarik Mengenai Kawasan Ini :
Para pengunjung dapat melihat pelbagai jenis flora dan fauna, yang masih belum tercemar, mempunyai landskap semulajadi yang masih belum diterokai serta terkenal dengan keindahan dan keunikan gua batu kapur. Antara gua tersebut ialah Gua Batu Tinggi, Gua Batu Tangkup, Gua Batu Telahup, Gua Kesong, Gua Buta, Gua Harimau dan Gua Hijau. Pengunjung akan dapat menghayati suasana hutan dengan mendengar bunyi cengkerik dan burung enggang.


Jambatan yang dibina untuk memudahkan pergerakan pelancong


Jeti Tanjung Kiara yang digunakan untuk tiba ke taman tersebut

Lokasi :
Terletak 32 km dari bandar Kuala Lipis dan 302 km daripada Kuantan.

Bagaimana Untuk Ke Sana :
Bas Mini = 10.00 pagi dan 2.00 petang (dari Stesen Kereta Api Kuala Lipis); 12.30 tengahari dan 4.00 petang (dari Taman Rimba Kenong). Tambang yang dikenakan adalah RM40.00 seorang dan dioperasikan oleh Green Park Adventure Sdn. Bhd. Dinasihatkan untuk menempah perkhidmatan ini seawalnya, untuk mengelak ketiadaan tempat.

Bot = 1. Dari Kuala Lipis ke Jeti Tanjung Kiara selama 1 jam dengan kos sebanyak RM300.00 
2. Dari Kg. Batu Sembilan ke Jeti Tanjung Kiara selama 30 minit dengan kos sebanyak RM80.00 (sehala) 3. Berjalan kaki selama 40 minit ke Jeti Kuala Kenong dan menaiki bot ke Jeti Tanjung Kiara selama 5 minit dengan bayaran sebanyak RM10.00.
4. Dari Jeti Kuala Tembeling ke Jeti Tanjung Kiara selama 1 jam 30 minit dengan kos sebanyak RM350.00.

Setelah tiba, berjalan kaki ke Tapak Utama selama 1 jam.

Kemudahan Sedia Ada :
Tempat letak kereta, jambatan gantung, pusat penerangan, pondok rehat (dilengkapi dengan bangku dan kemudahan tong sampah), papan tanda dan papan tanda pokok, chalet dan dormitori, tapak perkhemahan, tandas awam dan denai hutan.


Kawasan ruang utama di dalam taman tersebut


Kemudahan yang memudahkan pengunjung


Kemudahan penginapan yang selesa dan memuaskan untuk dihuni pengunjung

Kemudahan Penginapan :
Tinggal di Jungle Lodge, berhampiran dengan pokok besar , terdapat beberapa kabin, bilik dorm dan tapak perkhemahan dan Kafe Hutan dengan harga berpatutan. Antara penginapan yang ditawarkan
1. Kenong Experience/TKNG/02 (Trekking) - 2 Hari 1 Malam (Sederhana), RM300.00 dengan minima 2 pass
2. Kenong Green Adventure/TKNG/03 (Trekking) - 3 Hari 2 Malam (Sederhana), RM400.00 dengan minima 2 pass
3. Kenong Exploration/TKNG/04 (Trekking) - 4 Hari 3 Malam (Tinggi), RM500.00 dengan minima 2 pass
4. Kenong Expedition/TKNG/05 (Trekking) - 5 Hari 4 Malam (Tinggi), RM600.00 dengan minima 2 pass
5. Kenong Rimba Park/T/KNG/03/GIT/P - 3 Hari 2 Malam (Mudah), RM185.00 dengan minima 40 pass

Aktiviti Yang Dijalankan :
Jelajah gua batur kapur, interpretasi sumber, berkelah, berenang, fotografi, aktiviti bertali, 'cave tubing', berakit, bersampan, berkenu, berkayak, pemerhatian burung/hidupan liar, jelajah gunung dan perkhemahan

Maklumat Untuk Dihubungi :
Green Park Adventure Sdn. Bhd
E-mail = info.my.greenpark@gmail.com
Laman blog = http://my-greenpark.blogspot.com
No.Tel = +60199657388 / +60199334885 / +60126888314 (boleh juga menghantar SMS)
No. Faks = +6092661503

Lipis - Gua Bama



Persekitaran kawasan pergunungan. Gua Bama terletak di kiri gambar

Maklumat Berkaitan :
Merupakan salah sebuah kawasan pelancongan yang dijadikan kawasan perkhemahan. Gua ini adalah sebuah gua batu kapur dan kedudukannya terletak di belakang sebuah perkampungan masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan tersebut sejak zaman dahulu.


Pemandangan Gua Bama dari luar kawasan 

Lokasi :
Terletak di Mukim Telang
(Maklumat lanjut boleh menghubungi Majlis Daerah Lipis)

Kemudahan Yang Terdapat Di Sana :
Laluan trek ke gua dan tapak perkhemahan


Laluan trek menuju ke Gua Bama

Keistimewaan :
Terletak berhampiran dengan kuari emas yang kecil (kini masih belum dikenalpasti sama ada sudah tutup atau tidak)


Kawasan berhampiran tempat pendakian menuju ke Gua Bama


Maran - Lubuk Kawah



Kawasan persekitaran lubuk yang gemar dikunjungi oleh pencinta alam

Maklumat Berkaitan :
Merupakan salah satu daripada lubuk yang terdapat di daerah Maran, selain daripada Lubuk Ujed dan Lubuk Yu serta berhampiran antara kedua-dua lubuk tersebut. Kawasan lubuk ini mendapat nama sempena kawasan lubuk yang berbentuk seakan-akan kawah yang digunakan oleh penduduk ketika majlis kenduri.

Lokasi :
Terletak berhampiran Ulu Jempol


Keindahan air yang bersih tanpa pencemaran alam


Sebahagian penduduk berhampiran yang mengambil peluang bermandi-manda di kawasan tersebut


Maran - Kuil Marathandavar



Kawasan persekitaran kuil tersebut

Maklumat Berkaitan :
Merupakan kawasan utama bagi upacara keagamaan bagi masyarakat Hindu di seluruh daerah Maran, termasuk kawasan sekitarnya. Menjadi tumpuan ribuan penganut-penganut agama Hindu terutama pada setiap bulan Mac sehingga April pada setiap tahun, untuk melaksanakan upacara keagamaan yang tertentu.

Lokasi :
Terletak di tepi jalan Persekutuan 64; berhampiran jalan keluar daripada bandar Maran
Dari KL atau Kuantan = Menaiki kereta ke susur keluar Hentian Maran dari Lebuhraya Pantai Timur dan melalui jalan Persekutuan.


Keadaan di dalam Kuil Marathandavar, Maran


Keadaan di kawasan persekitaran kuil ketika upacara keagamaan berlangsung

Kemudahan Yang Disediakan :
Ruang meletak kereta yang luas, tandas awam dan keperluan lain


Maran - Hutan Lipur Teladas



Pemandangan di kawasan sungai Hutan Lipur Teladas

Maklumat Berkaitan :
Kawasan ini terkenal dengan air terjun dan sungai yang dingin semulajadi, lebih dingin dan bersih dari sungai yang lain. Kawasan ini terletak di dalam hutan yang telah dibalak. Merupakan kawasan perkelahan yang terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pengunjung sekitar Maran, Jengka dan Kuantan. Mula dibuka sejak tahun 1985.

Lokasi :
2 km daripada bandar Maran dan 50 km daripada Temerloh.


Pandangan dari atas air terjun yang terdapat di Hutan Lipur Teladas

Kemudahan Yang Disediakan :
Ruang pejalan kaki, pondok awam, bangku rehat, tandas awam, bilik persalinan (lelaki dan wanita), jambatan, ampangan dan tangga konkrit (kini masih diperbaiki dan dinaik taraf)

Keistimewaan :
Anda akan melalui kawasan hutan yang nyaman serta dikelilingi oleh penduduk setempat yang ramah dan membantu.

Temerloh - Kubur Sudirman Haji Arshad

Sedikit Pengenalan Sudirman Haji Arshad


Sudirman semasa hayatnya

     Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1954-22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi terkenal di Malaysia. Beliau telah dinobatkan sebagai Penghibur Nombor 1 Asia dari Malaysia sebelum kehadiran penyanyi Siti Nurhaliza. Merupakan anak jati Pahang pertama memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di London. Lelaki kacak ini telah diberi jolokan sebagai Penghibur Milik Masyarakat, Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia. Beliau adalah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon.Selain itu, beliau telah melahirkan sebanyak 168 buah lagu.

    Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui kaca televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter dan berkasut saiz 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja. Beliau terkenal dengan seorang yang berjiwa rakyat, dengan lagunya "Tanggal 31" sempena kemerdekaan negara dan mencatat rekod sebagai penyanyi pertama yang membuat persembahan secara 'live' di hadapan semua para peminatnya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. 


Pusara Sudirman di Tanah Perkuburan Kampung Chengal, Temerloh

     Beliau meninggal dunia pada usia 33 tahun, iaitu selepas 5 tahun menghidap penyakit paru-paru (sumber dari Wikipedia). Beliau kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Chengal, Temerloh dengan diiringi ramai peminat-peminatnya. Lebih bermakna apabila, Perdana Menteri ke-4 ketika itu, Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) turut turun padang menziarahi ketika upacara pengebumian dijalankan, sebagai tanda penghormatan kepada penyanyi tersebut dan keluarganya.

Temerloh - Masjid Abu Bakar



Kawasan perkarangan masjid dari arah pintu masuk berdekatan Pustaka Saujana

Maklumat Berkaitan :
Merupakan masjid utama di kawasan Temerloh dan bangunan tertua di Temerloh


Kawasan masjid dari luar pagar

Lokasi :
Terletak di tengah-tengah bandar Lama Temerloh; berhampiran dengan Terminal Bas Lama Temerloh. Kedudukannya terletak di atas bukit, boleh kelihatan dari kawasan Pekan Sehari Temerloh. Bersebelahan Pusat Zakat Daerah Temerloh


Kawasan ruang sembahyang lelaki di dalam masjid; kawasannya adalah lebih luas berbanding kawasan ruang sembahyang wanita

Keistimewaan :
Suasana yang tenang dan nyaman walaupun dikelilingi hiruk pikuk bandar. Reka bentuk lama yang masih dikekalkan dan sentiasa ditambah bagi memenuhi keperluan semasa.

Temerloh - Taman Rimba Tasik Chatin



Pengunjung yang melakukan senaman di persekitaran kawasan taman

Maklumat Berkaitan :
Kawasan hutan kecil yang dikekalkan persekitarannya dan terlindung daripada pancaran terik matahari. Sesuai untuk kawasan beriadah dan berehat bagi seisi keluarga, melihat habitat semulajadi ikan air tawar dan menikmati keindahan hutan.

Lokasi :
Mentakab; kira-kira 10 km daripada bandar Temerloh

Kemudahan Yang Disediakan :
Taman permainan kanak-kanak, tandas awam, tempat meletak kereta, kemudahan senaman dan riadah, kawasan rehat dan gerai makanan

Keistimewaan :
Dapat menyaksikan ikan yang terdapat di dalam tasik dengan memberi makan beberapa spesis ikan antaranya kaloi, kelah, kap, patin, lampan, sebarau, jelawat dan belida.

Temerloh - Dataran Patin & Taman Esplanade



Pemandangan dari sudut sisi bangunan di Dataran Patin, Temerloh. Di hadapan adalah Sungai Semantan.

Maklumat Berkaitan :
Taman berkonsepkan 'waterfront'. Menjadi lokasi untuk kaki pancing dan juga keluarga untuk beristirehat dan bersiar-siar.


Sudut pandangan Taman Esplanade dari tepi jalan berhampiran

Lokasi :
Terletak berhampiran pinggir Sungai Semantan dan melalui lorong tempat Pekan Sehari Temerloh


Arca berfungsi berbentuk ikan patin yang terdapat di ruang legar Taman Esplanade, berhampiran Dataran Patin

Kemudahan :
Tempat pejalan kaki, jeti (perkhidmatan bot ke Kampung Bangau Parit dan Kampung Padang Tenggala), tandas awam, gerai makanan panas dan makanan ringan serta membeli hasil ikan nelayan.




Sebahagian pemandangan yang terdapat di Taman Esplanade

Keistimewaan :
Dapat merasai dan menikmati sendiri keenakan masakan terkenal negeri Pahang, iaitu Asam Pedas Tempoyak Ikan Patin. Malah dapat membeli ikan patin dengan harga berpatutan iaitu ikan patin jenis buah.

Temerloh - Taman Kubang Gajah



Batu tanda yang terdapat di hadapan pintu masuk ke dalam taman

Lokasi :
Terletak di permulaan jalan menuju ke Bandar Lama Temerloh; sekiranya melalui arah Bera.
Berhampiran dengan simpang lampu isyarat tiga penjuru berhampiran dengan jambatan Temerloh.

Kemudahan :
Tandas awam, surau, tempat duduk bersantai, taman permainan kanak-kanak, padang bola sepak, padang bola jaring dan Wading pool (untuk kanak-kanak)


Pemandangan yang terdapat di dalam taman ini

Bayaran :
Percuma

Temerloh - Gunung Senyum



Pintu masuk ke Hutan Lipur Gunung Senyum

Maklumat Berkaitan :
Gunung Senyum terletak di kawasan berhampiran Felda Jengka 25, iaitu di kawasan berhampiran Segitiga Jengka. Berketinggian kira-kira 486 meter, bersamaan 1,594 kaki. Merupakan hutan Dipterokarp Bukit, dan dijadikan pusat origin koordinat negeri Pahang oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Pahang kerana terletak di tengah-tengah negeri. 


Sebahagian kawasan berhampiran puncak Gunung Senyum

Sejarah Gunung Senyum :
Terdapat banyak versi mengenai asal-usul nama Gunung Senyum ini. Pada suatu hari, Sultan Pahang telah berkenan mencemar duli untuk mendaki gunung tersebut. Setibanya di puncak, baginda bertanya kepada sekalian para pembesar yang mengiringi baginda akan nama gunung tersebut. Namun, tiada siapa pun yang dapat menjawab pertanyaan tersebut, lalu mendiamkan diri sahaja. Mereka hanya mampu tersenyum memandang ke arah baginda.


Kawasan permukaan Gunung Jebak Puyuh

Maklumat Berkaitan Hutan Lipur Gunung Senyum :
Mempunyai 2 buah gunung iaitu Gunung Senyum dan Gunung Jebak Puyuh. Di Gunung Senyum, terdapat 18 buah gua iaitu Gua Nisan, Gua Kelawar, Gua Tali Air, Gua Makam Tok Long, Gua Silat, Danau Impian, Gua Gajah, Gua Taman Dua, Gua Taman Satu, Gua Angin, Gua Terang Bulan, Gua Kolam Tujuh, Gua Hidang, Gua Sara, Gua Piala & Gudang Kelawar, Gua Merlap, Gua Tapa dan Gua Kambing. Di Gunung Jebak Puyuh, terdapat 7 buah gua iaitu Gua Rangkak, Gua Terowong, Gua Kapal, Gua Mayat, Gua Candi, Gua Straw dan Gua Ular.


Keadaan di dalam Gua Terang Bulan


Keadaan di dalam gua yang penuh dengan stalatemate dan stalatemite






Kemudahan jambatan yang dibina bagi memudahkan pengunjung/penjelajah

Lokasi :
Terletak berhampiran Sungai Pahang.
Kereta = Menggunakan jalan dari bandar Temerloh (40 km), bandar Tun Abdul Razak Jengka (20 km) atau kawasan Jerantut (10 km).
Kereta Api = Berhenti di Stesen Kereta Api Kuala Krau; sekiranya bertolak dari Stesen Kereta Api Mentakab
Bot = Perkhidmatan bot menyeberangi Sungai Pahang

Aktiviti Yang Disediakan :
Mendaki gunung, menjelajah hutan/gua, menjejak hidupan liar dan memerhati burung dan sebagainya

Kemudahan Yang Ada :
Rumah tumpangan (Chalet), tandas awam, masjid (Masjid Teluk Sabak), Pejabat Ranger Hutan Lipur Gunung Senyum, tapak perkhemahan, taman permainan kanak-kanak, tempat meletak kereta, jeti dan tempat beristirehat


Pemandangan kawasan chalet dan Gunung Senyum


Pemandangan Gunung Senyum dari kawasan tempat beristirehat

Pesanan :
Memerlukan Ranger Penunjuk Arah; terutama pengunjung yang datang secara berkumpulan

Pihak Yang Boleh Dihubungi :
1. MMAdventure Service = +60196446505 (Hotline), mmadventure@gmail.com (E-mail), www.mmadventure.com (Laman web)
2. Pejabat Perhutanan Dan Perhilitan Temerloh = +6092962755




Pesanan Kepada Semua Blogger

Mood Seharian Hamba