Salju Biru

Khamis, 29 Mac 2012

Kuantan - Pantai Teluk Cempedak



Kawasan tepian pantai yang terletak berhampiran Teluk Pelindung

Maklumat Berkaitan :
Merupakan kawasan pantai yang paling popular di Pahang. Mempunyai kawasan yang sangat landai dan bersesuaian untuk aktiviti berkaitan. Kawasan ini juga dibuka 24 jam selain daripada tumpuan pasangan kekasih atau juga keluarga.


Pemandangan yang digambarkan dengan baik mengenai keindahan pantai ini

Lokasi :
5 km daripada bandar Kuantan, terletak berhampiran dengan Teluk Pelindung dan juga Pantai Beserah. Kawasan ini juga sangat berhampiran dengan Royal Pahang Golf Club dan Taman Teruntum.


Kawasan pejalan kaki yang disediakan bagi ke Teluk Pelindung yang berhampiran

Kemudahan Yang Disediakan :
Penginapan (Hyatt Regency Kuantan Hotel dan lain-lain), restoran (KFC, Burger King dan Mc Donald), kedai menjual cenderamata, kawasan pejalan kaki menuju Teluk Pelindung, tandas awam, tempat rehat dan juga kawasan parkir kereta berbayar

Aktiviti Yang Dijalankan :
Berenang, menyelam, berjemur, menaiki layar, permainan pantai, bermain layang-layang, berkelah dan bermain jet ski.

Peringatan :
Kawasan pantai berbahaya sekiranya berlaku ombak dan air pasang. Pihak keselamatan pantai telah meletakkan bendera merah bagi memberi amaran kawasan tersebut tidak boleh berenang atau kecemasan bahawa air sudah pasang atau ombak besar. Disarankan agar pengunjung mengambil kira keselamatan dan segera beredar dari kawasan tepi pantai seandainya bendera merah dinaikkan.


Kuantan - Pantai Beserah



Kawasan tepian pantai yang masih bersih dan cantik

Maklumat Berkaitan :
Beserah merupakan salah satu daripada kawasan perkampungan nelayan yang terletak berhampiran dengan bandar Kuantan. Di sini terkenal dengan kesegaran hasil tangkapan yang diperolehi secara terus dari laut. Keadaan ini disebabkan kawasan Beserah merupakan tempat untuk para nelayan berkumpul dan menjual hasil laut kepada pemborong. Kebanyakan rumah di sekitar kawasan kampung masih mengamalkan kehidupan sebagai nelayan.


Kawasan berhampiran dengan tepian pantai Beserah, yang dahulunya merupakan laluan kapal

Lokasi :
Terletak 10 km daripada bandar Kuantan, berhampiran jalan menuju ke Pantai Batu Hitam dan Pantai Balok.


Kawasan pantai yang luas dan putih

Keistimewaan :
Terdapat nelayan yang masih menggunakan cara lama untuk mengangkut hasil tangkapan dari bot ke daratan. Mereka menggunakan kerbau untuk mengangkut bakaul yang berisi hasil tangkapan dan membawanya ke jeti.



Kemudahan  Yang Disediakan :
Pasar basah yang menyediakan hasil tangkapan ikan yang masih segar dan 'manis'. Barangan dari hasil ikan seperti keropok lekor, sotong kering dan sebagainya mudah didapati di gerai-gerai berhampiran.


Kuantan - Pantai Batu Hitam



Kawasan pantai yang luas dan mendapat perhatian umum

Maklumat Berkaitan :
Merupakan salah sebuah pantai yang terkenal di Pahang dan dikenali menerusi rangkaian batu-batu hitam yang terletak di tepian pantai dan melambangkan keanehan alam semulajadi. Kawasan batu hitam tersebut menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk memancing, kerana dipercayai mudah untuk mendapatkan ikan.


Batu-batuan berwarna hitam yang memenuhi kawasan pantai

Lokasi :
Terletak di antara Pantai Balok dan juga Pantai Beserah, iaitu 13 km daripada bandar Kuantan


Antara kemudahan yang ada di kawasan tepi pantai

Sejarah Nama Pantai :
Dipercayai pada suatu masa dahulu, bahawa rangkaian pantai dan kampung di pesisir pantai mendapat nama menerusi peristiwa yang berlaku. Terdapat sebuah kapal yang telah belayar semasa hujan dan ribut yang kuat sedang melanda. Ribut itu adalah sangat kuat dan membuatkan ramai berdoa agar mereka selamat dari karam. Lalu mereka BERSERAH kepada tuhan di suatu tempat dan meneruskan ke satu tempat dan akhirnya, kapal itu dipukul ombak dan karam di tengah laut. Manakala mayat mangsa-mangsa yang banyak berbuat dosa akhirnya terdampar di tepi laut lalu membentuk kelompok batu yang berwarna hitam; akibat dosa yang dilakukan mereka. Disebabkan batu yang berwarna hitam, maka penghulu kampung mengambil keputusan untuk menggunakan nama tersebut untuk memperingati peristiwa tersebut.


Kemudahan pemerhati yang boleh digunakan pengunjung untuk menikmati seluruh pemandangan pantai 

Kemudahan Yang Boleh Didapati :
Penginapan (Resort Batu Hitam, Gazma Resort dan Pantai Batu Hitam Beach Resort), restoran, kedai makanan Melayu dan masakan laut, bilik rehat umum dan bilik mandi.


Pesanan Kepada Semua Blogger

Mood Seharian Hamba