Salju Biru

Jumaat, 16 Mac 2012

Lipis - Batu Penanda Sukatan Jarak Semenanjung Malaysia


     Batu penanda ini merupakan penanda aras sukatan geografi bagi menentukan jarak tempat di seluruh Semenanjung Malaysia. Batu penanda ini mempunyai tanda '0' pada permukaan batuan yang menandakan permulaan bacaan yang bermula dari kawasan tersebut. Batu ini terletak berdekatan dengan Pejabat Pos Kuala Lipis dan menghadap jalan besar bandar Lipis dan bertentangan dengan Maybank Kuala Lipis. Sangat mudah untuk dikenal pasti kerana ia hanya satu-satunya batu penanda jarak jalan di Lipis yang bertanda '0' pada permukaannya.


Batu penanda jarak yang terletak bersebelahan dengan Pejabat Pos Kuala Lipis


Lipis - Bangunan Bersejarah : Tokong Thean Hou



Bahagian dalam tokong yang telah diubahsuai oleh penduduk

     Tokong ini telah dibina oleh penganut-penganut Buddha di bandar Lipis pada tahun 1898 yang diketuai oleh Kapitan daripada keturunan Ong. Kedudukan tokong ini adalah menghadap Sungai Jelai yang dipercayai bertujuan bagi menjaga keselamatan nelayan. Berhala yang berada di dalam tokong ini telah dibawa secara khas daripada negara China. Di dalam tokong ini juga terdapat sebuah batu yang diukir mengenai sejarah tokong ini.


Bahagian luar kawasan tokong yang dihias dan seni bina yang telah lama

     Banjir besar yang melanda Kuala Lipis pada tahun 1926 telah mendatangkan kerosakan yang teruk kepada tokong ini. Oleh itu, ia dibina semula menggunakan struktur konkrit dan dipantau oleh penguasa tempatan ketika itu. Kedudukannya adalah di tengah-tengah bandar Kuala Lipis, yang memudahkan penganut agama Buddha untuk menunaikan ibadat dan sebagainya.


Kawasan luar tokong dari sisi, tokong ini berhadapan dengan jalan utama bandar lama Lipis dan di belakang tokong adalah Sungai Jelai


Lipis - Bangunan Bersejarah : Stesen Kereta Api Kuala Lipis



Bahagian hadapan Stesen Kereta Api Kuala Lipis

    Perkhidmatan ini telah mula beroperasi pada tahun 1926, dengan menghubungkan Kuala Lipis ke Johor Bharu yang terletak di selatan, Chegar Perah di utara dan Tumpat di Kelantan ketika itu. Ia juga merupakan jalan darat yang pertama diperkenalkan di Kuala Lipis. Ketika zaman pemerintahan Jepun, landasan kereta api tersebut digunakan sebagai laluan untuk mengangkut tentera Jepun ke selatan untuk menawan Singapura. Selain itu, ia juga penting sebagai alat pengangkutan utama penduduk setempat, malah sebahagian besar daripada hasil perlombongan seperti emas dan bijih timah dibawa menerusi perkhidmatan kereta api.


Stesen Kereta Api daripada landasan kereta api. Penumpang-penumpang menaiki kereta api di sini


Bahagian tempat membeli tiket yang telah diubahsuai dan dinaiktaraf bagi keselesaan penumpang

    Perkhidmatan ini telah banyak mengalami perubahan. Pada tahun 1985, perkhidmatan ini telah merayakan ulang tahunnya yang ke-100 tahun. Malah stesen ini juga telah diperbaiki, ditambah baik serta dijaga oleh pihak KTM selain menjadi pusat untuk menghantar pos, yang mana kedudukannya adalah berhampiran dengan Pejabat Pos Kuala Lipis. Kedudukan stesen ini adalah teletak betul-betul di tengah bandar Lama Lipis pada masa kini.


Pemandangan Stesen Kereta Api Kuala Lipis dari pandangan atas; diambil dari jejantas yang menghubungkan Centrepoin Lipis dengan bandar lama Kuala Lipis


Lipis - Bangunan Bersejarah : Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford



Lencana rasmi sekolah yang digunakan sehingga kini

     Sekolah Menengah Clifford pada asalnya dikenali sebagai Goverment English School dan dibuka pada tahun 1913. Pada mulanya ia merupakan sebuah pondok kecil di tebing Sungai Jelai (kini dipanggil sebagai Jalan Jelai) dan hanya mempunyai 12 orang pelajar, yang kesemuanya adalah lelaki. Pada tahun 1918, jumlah murid-murid telah bertambah hingga 200 orang dan sekolah ini terpaksa dipindahkan ke kawasannya kini. Bangunan sekolah ketika itu adalah terdiri daripada bangunan kayu, dan kemudiannya ditambah dengan bangunan Malay Hostel pada tahun 1926 dan bangunan induk (berbentuk huruf D) pada tahun 1929 telah dibina.


Pemandangan hadapan sekolah dari atas bukit kecil berhampiran. Di sebelah kiri, bangunan baru sekolah. Di sebelah kanan sebelum pintu masuk, gerai kecil milik peniaga berbangsa India. Di hadapan adalah bangunan lama sekolah dan Malay Hostel.

     Perasmian sekolah ini telah dibuat pada tahun 1929 oleh bekas Residen British Pahang, iaitu Sir Hugh Clifford. Pada tahun 1926, beliau diangkat menjadi Governor of the Straits Settlements dan High Commisioner of the Federated Malay States. Sekolah ini telah mengabadikan nama beliau selepas berlakunya upacara perasmian tersebut. Sekolah ini telah mencatat sejarah bagi sekolah yang pertama mengadakan School Certificate Class pada tahun 1936. Penuntut yang menduduki peperiksaan School Certificate adalah seramai 11 orang dan 9 daripadanya telah lulus dalam peperiksaan tersebut. Di samping kecemerlangan yang diperolehi di bidang akademik, sekolah ini juga mencapai kejayaan yang membanggakan di bidang sukan.


Bangunan lama sekolah yang merupakan bangunan pertama yang menempatkan kelas pelajar. Kini masih digunakan dan menjadi bangunan untuk pelajar Tingkatan 6 aliran sastera (Pra U) dan juga bilik maklumat Tingkatan 6

     Pada zaman pemerintahan jepun, sekolah ini telah dijadikan markas tentera Jepun dan Ibu Pejabat Kempetai. Sebuah bilik darjah dijadikan sebagai bilik tahanan. Sekolah ini juga menempa kemajuan dari zaman ke zaman dan telah melahirkan ramai penuntut yang kini telah memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara. Antara bekas pelajar sekolah ini adalah KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni AlMarhum Sultan Abu Bakar Al-Muadzam Shah dan Yang Berhormat Dato' Seri Tan Sri Dr. Mohd Ghazali bin Shafie.


Bangunan lama sekolah, turut merupakan kelas di mana penyanyi No.1 Malaysia, Dato' Siti Nurhaliza menuntut ilmu sebelum bergelar penyanyi

Lipis - Bangunan Bersejarah : Rumah Pegawai Daerah (JKR 4), Jalan Orang Kaya Haji



Bahagian keseluruhan bangunan yang merupakan rumah Pegawai Daerah Lipis

      Rumah ini terletak di atas tapak sebuah kubu yang dibina oleh Orang Kaya Haji Wan Daud yang ketika itu menguasai Lembah Sungai Lipis. Rumah kediaman ini siap dibina pada tahun 1929. Tapak pembinaan rumah ini pada mulanya menempatkan kediaman untuk W.C. Michell, iaitu pentadbir dan pembantu kepada Residen British, Sir Hugh Clifford.


Bahagian hadapan rumah ini yang masih mengekalkan ciri-ciri seni bina Inggeris

      Rumah tersebut musnah apabila banjir besar melanda Lipis . Oleh itu, pihak British membangunkan semula rumah tersebut dan bangunan ini kekal sehingga kini. Bangunan ini kemudiannya dijadikan sebagai kediaman bagi pegawai-pegawai British, terutama kepada Pegawai Jajahan. Orang Melayu yang pertama dilantik menjadi Pegawai Jajahan Lipis ialah Tengku Mustapha bin Tengku Mohamad. Perlantikan ini berlangsung pada tahun 1941. Namun, rumah ini telah diduduki kali pertama oleh Encik Mohd Taib bin Andak, yang kini telah bergelar Tan Sri. Sehingga kini, rumah tersebut kekal sebagai kediaman rasmi Pegawai Daerah Lipis.

Lipis - Bangunan Bersejarah : Pejabat Pos Kuala Lipis



Bangunan Pejabat Pos yang terletak di bandar Lama Lipis, bersebelahan Stesen Kereta Api Kuala Lipis dan bertentangan dengan Maybank Lipis

       Pejabat pos ini dibina pada tahun 1910. Pada permulaannya, perkhidmatan pos berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Bangunan ini telah dikongsi bersama dengan Perkhidmtan Telegraf, iaitu salah satu perkhidmatan Jabatan Telekom ketika itu. Apabila Jabatan Telekom diswastakan sepenuhnya pada tahun 1989, perkhidmatan ini telah dipindahkan sepenuhnya ke bangunan utama Telekom Malaysia sekarang.

      Pada mulanya, pintu masuk ke pejabat pos ini adalah menghadap ke arah jalan besar bandar Lipis. Tetapi setelah kejaian banjir besar pada tahun 1971, pintu masuk utamanya telah diubah ke tempat ke arah taman kecil yang bertentangan dari jalan besar, sehingga kini. Perkhidmatan Pos mula diswastakan pada 1 Januari 1992 dan dikenali sebagai Pos Malaysia sehingga kini. Bangunan ini telah menjalani pelbagai pengubahsuaian sehingga dinaiktaraf pada tahun 2002. Selain itu, Pejabat Pos Kuala Lipis pernah diiktiraf sebagai Pejabat Pos terbaik di seluruh Malaysia pada tahun 2004.

Lipis - Bangunan Bersejarah : Pahang Club (JKR 1), Jalan Club



Gambaran pada setiap sudut bangunan Pahang Club yang terdapat di atas bukit bersebelahan dengan Hospital Lipis

    Bangunan ini banyak nilai sejarahnya. Bangunan ini merupakan bangunan terawal yang dibina oleh British iaitu pada tahun 1907. Tapak bangunan ini merupakan tapak pertama di mana pihak Inggeris mula-mula mentadbir Pahang. Rumah ini telah dibina bertujuan untuk membina kediaman bagi Sir Hugh Clifford yang ketika itu memegang jawatan sebagai 'Supritendent Ulu Pahang' yang menetap di Kuala Lipis.

     Pada Jun 1898, Kuala Lipis telah menggantikan bandar diraja Pekan sebagai ibu negeri Pahang. Bermula pada tarikh tersebut, rumah ini telah dijadikan kediaman rasmi untuk Residen British. Residen British ketika itu, Sir Hugh Clifford telah memikirkan untuk membina sebuah kediaman yang lebih sesuai untuk memudahkan beliau mengawal kawasan bandar Lipis secara menyeluruh. Oleh itu, beliau telah menemui tapak yang dianggap sesuai iaitu di Bukit Residen (Resident Hill). Sementara menunggu kediaman tersebut selesai dibina, beliau menetap sementara waktu di Rumah Kelab Pahang sehingga tahun 1922.

     Apabila beliau berpindah ke kediaman di Bukit Residen, rumah kelab ini telah didiami oleh Inspektor Polis British sehingga tahun 1926. Jawatan ini membolehkan beliau mengetuai Keanggotaan Polis British, yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Sibu, Dayak dan Melayu. Jumlah kesemua anggota polis ketika itu adalah seramai 100 orang.

     Pada pertengahan tahun 1926, rumah kelab ini telah ditinggalkan dan kemudiannya Kerajaan Inggeris menjadikan rumah ini sebagai sebuah kelab yang khas untuk pegawai-pegawai Tinggi British sahaja. Rumah ini tidak dilakukan sebarang pengubahsuaian, bagi tujuan menjaga keaslian seni binanya. Semasa ia menjadi Kelab Pahang, rumah ini dikawal dengan sangat rapi. Pengunjung ke kelab ini mestilah orang yang berpangkat, berkemeja kemas, bertali leher serta dihormati oleh orang-orang British. Setelah rumah ini ditinggalkan, ia pernah dicadangkan sebagai tapak istana tetapi ditolak oleh pihak istana.

     Pada tahun 1957, keahlian kelab ini adalah hanya bagi orang-orang kenamaan, orang British dan Pegawai Tinggi Kerajaan sahaja. Setelah merdeka, keahliannya dibuka kepada masyarakat tempatan yang berada serta tidak mengira pelbagai kaum. Secara umumnya, aktiviti kelab ini ialah kemudahan rekreasi, aktiviti sukan seperti permainan tenis, badminton dan sepak takraw. Malah, ahli kelab ini juga menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Lipis - Bangunan Bersejarah : Masjid Besar Lipis



Bangunan masjid yang diambil secara dekat dan terdapat di tebing Sungai Jelai

    Bangunan Masjid Negeri ini telah dibina pada tahun 1888 oleh seorang saudagar Arab Yaman yang bernama Habib Hassan. Beliau juga adalah orang yang mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid ini. Pada asalnya, atap masjid ini diperbuat daripada papan.

      Masjid ini telah dijadikan sebagai Masjid Negeri Pahang kerana Kuala Lipis merupakan ibu negeri Pahang sebelum ia dipindahkan ke Kuantan. Imam pertama masjid ini adalah seseorang bernama Imam Awang yang berasal daripada Indonesia manakala anak tempatan yang pertama menjadi imam masjid ini ialah Imam Kawi, iaitu imam kedua masjid ini. Pada masa tersebut, gaji setiap imam masjid ini dibayar menggunakan wang hasil dari kutipan zakat. Imam pertama yang pertama menerima gaji daripada pihak kerajaan adalah Imam Salih bin Hussin.


Pemandangan hadapan masjid yang terdapat di tengah-tengah bandar Kuala Lipis

     Menurut cerita orang-orang tua, salah satu keistimewaan masjid ini ialah ia tidak pernah ditenggelami banjir walaupun kedudukannya berhampiran dengan Sungai Jelai, yang mana kedudukan bandar Kuala Lipis adalah terletak di tepi sungai. Antara pembesar yang pernah bersembahyang di sini ialah Dato' Samah, bekas Setiausaha Kerajaan Pahang dan Tun Abdul Razak bin Tun Hussein, bekas Menteri Besar Pahang serta KDYMM Sultan Abu Bakar, Raja Negeri Pahang.

Lipis - Bangunan Bersejarah : Gudwara Sahib



Papan tanda yang terdapat di pintu masuk bangunan menyambut kedatangan pengunjung

     Bangunan ini telah dibina pada tahun 1916 semasa pemerintahan Inggeris. Ia telah dibina oleh masyarakat Sikh yang bertugas sebagai Polis Inggeris, pekerja-pekerja Stesen Kereta Api Kuala Lipis dan askar-askar Inggeris. Dengan adanya bangunan ini, jumlah kaum Sikh yang menetap di Kuala Lipis menjadi lebih ramai. Walaupun pada masa kini jumlah masyarakat Sikh semakin berkurangan di Lipis, namun bangunan ini masih berdiri utuh sebagai bahan bukti sejarah penempatan pertama masyarakat Sikh di pekan ini.


Bahagian hadapan bangunan yang sentiasa terbuka untuk semua pengunjung


Lipis - Bangunan Bersejarah : Istana Hinggap



Bahagian hadapan istana yang diambil menerusi taman di hadapannya

     Bangunan ini asalnya merupakan kediaman Pegawai British yang ditugaskan ke Kuala Lipis. Pihak British mula mendirikan bangunan ini pada tahun 1926. Namun, apabila jawatan Menteri Besar diwujudkan pada ytahun 1948, bangunan ini telah diperbaiki dan dinaiktaraf untuk dijadikan kediaman rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1955. Antara Menteri Besar Pahang yang menetap di rumah ini adalah :

1. Dato' Setia Wangsa Sir Mahmud bin Mat (MSC., OBE) - 1 Feb 1948 hingga 1 Feb 1951

2. Orang Kaya Indera Shah Bandar Dato' Abdul Razak bin Dato' Hussein (MCS) - 1 Feb 1955 hingga 15 Jun 1955.


Bahagian hadapan Istana Hinggap. Pintu masuk terdapat di bahagian kanan bangunan


Bahagian sisi bangunan yang kemas dan teratur

     Bangunan ini kemudiannya dibiarkan kosong setelah ibu negeri Pahang bertukar daripada Kuala Lipis ke Kuantan pada tahun 1955. Upacara bersejarah yang berlangsung di istana ini ialah perkahwinan diraja diantara KDYMM Sultan Pahang dan KDYMM Tengku Ampuan Hajah Afzan binti Tengku Mohamad pada 22 April 1954. Istana ini juga dianggap sebagai simbol kedaulatan Raja dan perpaduan rakyat Pahang.


Bahagian belakang bangunan Istana Hinggap

Lipis - Bangunan Bersejarah : Muzium Warisan Lipis



Bahagian atas bangunan muzium yang juga diletakkan papan tanda muzium. Pintu masuk muzium adalah di bawah bahagian ini

    Bangunan ini merupakan bekas kediaman bagi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Rumah bersejarah ini telah siap dibina sepenuhnya pada tahun 1920 dan kedudukannya adalah berhampiran dengan kediaman Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang pada ketika itu. Rumah ini terletak di atas Bukit Bius, iaitu salah satu bukit di Kuala Lipis. Rumah ini dianggap mempunyai sejarah tersendiri apabila ia merupakan rumah kelahiran bekas Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak; malah di sinilah beliau dilahirkan serta dibesarkan.

    Ayah beliau, iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein pernah mendiami rumah ini ketika beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Selepas itu, rumah ini tetap dipelihara oleh kerajaan negeri untuk diduduki oleh para pegawai kerajaan Kelas A.


Bahagian hadapan muzium yang merupakan pintu masuk muzium

Waktu Lawatan :
Isnin hingga Khamis = 9.00 pagi hingga 5.00 petang
Jumaat = 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan 2.45 petang hingga 5.00 petang
Sabtu dan Ahad (termasuk cuti umum) = 10.00 pagi hingga 6.00 petang

Bayaran :
Percuma


Bangunan Muzium Warisan Lipis secara lebih dekat

Pengurusan Yang Boleh Dihubungi :
Alamat = Muzium Warisan Lipis, Jalan Bukit Bius, Kuala Lipis, Pahang.
E-mail = mdlipis@pahang.gov.my
Laman web = www.mdlipis@pahang.gov.my
No.Tel = +6093121498; No.Faks = +6093123953

Lipis - Bangunan Bersejarah : Bangunan Residen (Residen Inn)



Bahagian hadapan bangunan yang kini masih dipelihara dan dilawati

     Bangunan Residen ini dibina pada tahun 1922 di atas Resident Hill, iaitu puncak bukit yang tertinggi di Kuala Lipis. dengan menjadikannya sebagai rumah kediaman bagi Residen Inggeris yang bertugas di negeri Pahang. Penghuni pertama di bangunan ini adalah Sir Hugh Clifford, iaitu 'Supritendent of Ulu Pahang'. Selepas beliau, residen-residen selepasnya masih mendiami rumah ini sehinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1942 sehingga 1945.


Bahagian sisi bangunan yang telah diperbaiki dan ditambahbaik

      Pada tahun 1958 hingga 1965, bangunan ini telah dijadikan sebagai Asrama Murid-Murid Lelaki Sekolah Clifford. Asrama Resident Hill ini telah ditutup pada 31 Disember 1965 dan terbiar kosong sehingga pada tahun 1983, iaitu sebelum dijadikan sebagai Rumah Rehat Kerajaan. Pada 1 Disember 1985, sudut Muzium Lipis telah diwujudkan di sini bagi mempamerkan bahan-bahan bersejarah dan kebudayaan daerah Lipis. Malah, ia merupakan sudut muzium pertama yang ditubuhkan di negeri Pahang.


Kawasan bangunan secara dekat

Lipis - Bangunan Bersejarah : Bangunan Pentadbiran Daerah Lipis



Bahagian hadapan Pejabat Pentadbiran Kuala Lipis, terletak di atas bukit yang terletak hanya bersebelahan dengan SMK Clifford

    Bangunan ini siap dibina pada tahun 1919 dan merupakan pusat pentadbiran utama bagi negeri Pahang ketika itu, disebabkan Kuala Lipis merupakan ibu negeri Pahang pada masa tersebut. Bangunan ini menempatkan Pejabat Residen British dan Pegawai-Pegawai Pentadbir bagi negeri Pahang di tingkat atas. Manakala di tingkat bawah merupakan pejabat kutipan hasil dan perbendaharaan kerajaan British.


Ruang meletak kereta yang terdapat di bahagian luar Pejabat Pentadbiran Kuala Lipis

    Dengan wujudnya jawatan Menteri Besar pada tahun 1952, Pejabat Menteri Besar Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang ditempatkan di dalam bangunan ini. Antara yang pernah berkhidmat di sini ialah Orang Kaya Syahbandar Pahang, iaitu Dato' Abd.Razak bin Dato' Hussein pada tahun 1952. Apabila ibu negeri Pahang dipindahkan ke Kuantan pada 27 Ogos 1955, bekas pusat pentadbiran ini dijadikan pula sebagai Pejabat Daerah Lipis, sehingga kini.


Bahagian dalam bangunan yang terdapat di Pejabat Pentadbiran Kuala Lipis

Lipis - Bangunan Bersejarah : Bangunan Malay Hostel (JKR156), SMK Clifford



Bangunan Malay Hostel yang terdapat di dalam kawasan SMK Clifford, Kuala Lipis. Kini merupakan bangunan pentadbiran sekolah

     Bangunan ini telah siap dibina pada tahun 1926. Bangunan ini merupakan bangunan yang terbesar dan tercantik di kawasan sekolah ini. Bangunan hostel ini dibina di dalam kawasan Sekolah Menengah Clifford (Kuala Lipis Clifford High School) dan menjadikan sekolah ini sebagai sekolah berasrama penuh bagi masyarakat tempatan. Keadaan ini disebabkan setiap pelajar yang memasuki sekolah ini merupakan pelajar-pelajar yang terpilih, serta datang dari pelbagai tempat dan daerah di seluruh negeri Pahang. Malah, golongan kerabat diraja Pahang turut melanjutkan pelajaran di sini bagi mengambil peperiksaan Cambridge. Pada zaman dahulu, pelajar negeri Pahang yang mahu mengambil peperiksaan ini hanya boleh mendudukinya di sekolah ini sahaja. Sukatan pembelajaran adalah berasaskan sukatan pembelajaran yang dibawa daripada England, guru-guru yang bertauliah dan terbaik serta bahasa harian yang digunakan sama ada di dalam dan di luar kelas adalah Bahasa Inggeris.


Tingkat atas merupakan pejabat sekolah, bilik pengetua, bilik GPK, stor dan bilik mesyuarat. Tingkat bawah adalah bilik tetamu, muzium mini, bilik kaunseling dan bilik Ketua Panitia.

      Semasa pendudukan Jepun pada tahun 1941, bangunan ini merupakan markas terbesar pasukan tentera Jepun bagi menjalankan urusan pentadbiran mereka. Menurut satu sumber lain, kawasan sekolah ini menjadi 'head quarters' tentera Jepun dan kawasan hostel ini merupakan tempat penyeksaan dan pembunuhan tahanan yang menentang Jepun. Menurut Dato' Setia, YH. Dato' Wan Abdul Rahman, kawasan di antara kantin sekolah dan dewan besar sekolah (kini dipanggil sebagai Dewan Ibnu Sina) adalah merupakan tempat di mana tentera Jepun memancung kepala pesalah dan menanamnya.


Lipis - Bangunan Bersejarah : Asrama Jururawat Hospital Lipis



Kawasan depan asrama yang masih terpelihara

     Bangunan ini telah dibina pada tahun 1926. Sejak awal pembinaannya, asrama ini telah dijadikan sebagai tempat tinggal untuk para jururawat dan jururawat pelatih yang bertugas di Hospital Lipis. Struktur asalnya tidak mempunyai pagar dan kawasan sekeliling bangunan ini adalah kawasan lapang. Kedudukannya yang berhampiran dengan bangunan Kelab Pahang (Pahang Club) serta fungsinya sebagai kediaman jururawat menjadikan bangunan ini menjadi tumpuan ramai, khususnya bagi golongan lelaki.


Kawasan sisi asrama yang sangat santai dan harmoni

     Pada zaman penjajahan Jepun, bangunan ini tidak diganggu oleh pihak askar Jepun kerana fungsi bangunan ini sebagai sebahagian komponen Hospital Lipis. Asrama ini telah diubahsuai dan naik taraf sehinggalah kepada bentuk yang ada kini.


Pandangan dari sudut perspektif yang menarik


Pesanan Kepada Semua Blogger

Mood Seharian Hamba