Salju Biru

Jumaat, 16 Mac 2012

Lipis - Bangunan Bersejarah : Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford



Lencana rasmi sekolah yang digunakan sehingga kini

     Sekolah Menengah Clifford pada asalnya dikenali sebagai Goverment English School dan dibuka pada tahun 1913. Pada mulanya ia merupakan sebuah pondok kecil di tebing Sungai Jelai (kini dipanggil sebagai Jalan Jelai) dan hanya mempunyai 12 orang pelajar, yang kesemuanya adalah lelaki. Pada tahun 1918, jumlah murid-murid telah bertambah hingga 200 orang dan sekolah ini terpaksa dipindahkan ke kawasannya kini. Bangunan sekolah ketika itu adalah terdiri daripada bangunan kayu, dan kemudiannya ditambah dengan bangunan Malay Hostel pada tahun 1926 dan bangunan induk (berbentuk huruf D) pada tahun 1929 telah dibina.


Pemandangan hadapan sekolah dari atas bukit kecil berhampiran. Di sebelah kiri, bangunan baru sekolah. Di sebelah kanan sebelum pintu masuk, gerai kecil milik peniaga berbangsa India. Di hadapan adalah bangunan lama sekolah dan Malay Hostel.

     Perasmian sekolah ini telah dibuat pada tahun 1929 oleh bekas Residen British Pahang, iaitu Sir Hugh Clifford. Pada tahun 1926, beliau diangkat menjadi Governor of the Straits Settlements dan High Commisioner of the Federated Malay States. Sekolah ini telah mengabadikan nama beliau selepas berlakunya upacara perasmian tersebut. Sekolah ini telah mencatat sejarah bagi sekolah yang pertama mengadakan School Certificate Class pada tahun 1936. Penuntut yang menduduki peperiksaan School Certificate adalah seramai 11 orang dan 9 daripadanya telah lulus dalam peperiksaan tersebut. Di samping kecemerlangan yang diperolehi di bidang akademik, sekolah ini juga mencapai kejayaan yang membanggakan di bidang sukan.


Bangunan lama sekolah yang merupakan bangunan pertama yang menempatkan kelas pelajar. Kini masih digunakan dan menjadi bangunan untuk pelajar Tingkatan 6 aliran sastera (Pra U) dan juga bilik maklumat Tingkatan 6

     Pada zaman pemerintahan jepun, sekolah ini telah dijadikan markas tentera Jepun dan Ibu Pejabat Kempetai. Sebuah bilik darjah dijadikan sebagai bilik tahanan. Sekolah ini juga menempa kemajuan dari zaman ke zaman dan telah melahirkan ramai penuntut yang kini telah memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara. Antara bekas pelajar sekolah ini adalah KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni AlMarhum Sultan Abu Bakar Al-Muadzam Shah dan Yang Berhormat Dato' Seri Tan Sri Dr. Mohd Ghazali bin Shafie.


Bangunan lama sekolah, turut merupakan kelas di mana penyanyi No.1 Malaysia, Dato' Siti Nurhaliza menuntut ilmu sebelum bergelar penyanyi

Tiada ulasan:

Pesanan Kepada Semua Blogger

Mood Seharian Hamba